PETALING JAYA – Sepanyol mengumumkan menghantar kapal perang bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam pelayaran menghampiri perairan Gaza.
Ia selepas Itali terlebih dahulu mengerakkan kapal perang negara itu bagi mengiringi misi kemanusiaan tersebut yang berdepan ancaman Israel.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dilaporkan berkata, undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan hak rakyatnya untuk belayar di Laut Mediterranean dalam keadaan selamat mesti dipelihara.
“Kami akan menghantar sebuah kapal tentera laut dari Cartagena dengan semua sumber yang diperlukan sekiranya perlu membantu flotila itu dan melaksanakan operasi menyelamat,” katanya ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam.
Difahamkan, Sepanyol menghantar kapal rondaan laut dalam Furor P-46, manakala Itali menghantar kapal tentera jenis frigat tentera laut untuk membantu flotila.
Kelmarin, rejim Zionis Israel dipercayai meletupkan ‘bom kilat’ berhampiran konvoi bot peserta misi kemanusiaan GSF.
Sukarelawan Malaysia, ZRA Strim atau nama sebenar Zainal Rashid Ahmad dipetik berkata, letupan itu bagi menimbulkan ketakutan dan panik dalam kalangan pelayar.
Objek tidak dikenali turut dijatuhkan terhadap beberapa buah bot daripada dron yang mengekori rombongan pelayaran tersebut.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan misi pelayaran diteruskan selepas beberapa kerosakan kecil dikenal pasti.
Israel yang menuduh konvoi GSF digerakkan oleh Hamas namun tidak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE