PETALING JAYA – Pasukan sukarelawan yang menyertai misi pelayaran ke Gaza menerima perkhabaran duka apabila kapal perang Itali dan Sepanyol dipercayai hanya mengiringi mereka sehingga ke Zon Kuning.
Perkara itu dimaklumkan seorang daripada sukarelawan yang menyertai misi tersebut, Taufiq Razif menerusi satu hantaran di media sosialnya hari ini.
“Berita duka! Kemungkinan besar kapal perang Itali dan Sepanyol tu hanya iring sampai Yellow Zone je. Lepastu kita kena hadap sendirian Zionis tu. Ya, kami hanya ada Allah,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Zon Kuning dipercayai merujuk kepada sempadan antarabangsa sebelum memasuki kawasan konflik yang dikawal ketat oleh rejim Zionis Israel.
Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan akan keselamatan lebih 500 sukarelawan yang terlibat dalam misi penghantaran bantuan ke Gaza, termasuk wakil dari Malaysia.
Sebelum ini, Sepanyol mengumumkan penghantaran kapal perang bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang belayar menghampiri perairan Gaza.
Tindakan itu menyusul selepas Itali terlebih dahulu menggerakkan kapal perang mereka bagi mengiringi misi kemanusiaan tersebut yang berdepan ancaman daripada Israel.– KOSMO! ONLINE.