fbpx
SEDANG popular dengan banyak karya besar seperti Qodrat dan The Red Point Of Marriage, Marsha kini mewakili semangat juang wanita yang inginkan anak dalam Lyora: Penantian Buah Hati.

Epitome berjuang, hormat wanita yang menanti ‘garis dua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FILEM Lyora: Penantian Buah Hati terbitan produksi Paragon Pictures adalah sebuah karya yang cukup sarat dengan emosi kerana mengangkat realiti pejuang garis dua atau golongan wanita yang inginkan anak.

Bertema kekeluargaan, naskhah adaptasi novel berjudul, Lyora: Keajaiban Yang Dinanti karya Fenty Effendy juga merupakan sebuah kisah benar. 

Karya berkenaan menceritakan perjuangan Meutya lakonan Marsha Timothy dan Fajri (Darius Sinathrya), sebagai pasangan suami isteri yang menantikan kehadiran cahaya mata selepas lama berkahwin.

Demi mendapatkan anak pelbagai usaha dilakukan termasuk secara tradisional sehinggalah menjalani program kehamilan, bayi tabung atau fertilisasi in vitro (IVF) yang prosesnya bukanlah mudah.

Bagi Marsha Timothy, karakter Meutya memberi pengalaman berbeza kerana dia harus menyelami emosi perjuangan seorang bakal ibu yang berkali-kali mengalami keguguran.

“Melakonkan watak Meutya ini bagi saya seperti mewakili semangat juang para isteri yang sedang menanti buah hati. Karya ini  seperti surat cinta dan pembakar semangat untuk mereka dan diharap boleh memberi motivasi kepada pejuang garis dua.

“Menerusi watak Muetya ditunjukkan, sehebat mana wanita itu, mereka juga manusia biasa yang adakalanya berasa lelah dan memerlukan sokongan. 

“Watak ini cerminan wanita moden yang kuat, berkerjaya tetapi tetaplah manusia biasa yang membawa kegelisahan yang sangat universal iaitu keinginan membentuk keluarga, menjadi ibu dan berasa lengkap,” ujar Marsha Timothy.

Dalam pada itu, Darius Sinathrya berharap filem ini akan membuka mata banyak pihak bahawa perjuangan memiliki anak bukan terletak di bahu isteri sahaja, tetapi juga suami.

“Perjuangan menantikan buah hati bukan beban satu orang. Filem ini membuka ruang diskusi tentang pentingnya peran suami dalam perjuangan memiliki anak, bukan hanya tanggungjawab istri,” tambah Darius Sinathrya tentang filem yang telah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Ogos lalu.

Pembakar semangat

Mengikut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada enam pasangan di dunia menghadapi masalah kesuburan, sekali gus karya berkenaan sungguh relevan bahkan menjadi filem pertama di Indonesia yang mengangkat perspektif wanita dan pasangan dalam perjuangan memiliki anak. 

Sutradara, Pritagita Arianegara berharap dengan realiti yang dipaparkan dalam filem ini dapat memberikan motivasi dan semangat bagi pasangan pejuang garis dua.

“Karya ini sangat peribadi buat saya. Saya tahu rasanya menunggu, mencuba dan gagal. Menerusi Lyora, saya ingin memeluk mereka yang masih berjuang dan mengingatkan bahawa ini bukan perjuangan satu orang saja.

“Bagi ramai wanita, anak bukan sahaja untuk penyambung keturunan, tetapi refleksi kepada harapan, keberanian, perjuangan dan kadangkala kehilangan. 

“Membikin filem ini adalah cara saya menghormati mereka yang berjuang dalam diam dan untuk mereka yang belum berani bersuara tentang kesulitan yang dialami untuk memiliki anak,” jelas Pritagita Arianegara.

Selain Marsha dan Darius, Lyora: Penantian Buah Hati turut dibintangi Widyawati, Aimee Saras, Olga Lydia, Hannah Al Rashid, Ariyo Wahab dan Ivanka Suwandi.

Filem Lyora: Penantian Buah Hati yang diedarkan oleh Horizon Film Entertainment Sdn. Bhd. juga memasuki pawagam di Malaysia sejak 18 September lalu.

 

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI