LIVERPOOL – Liverpool meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) selepas menewaskan Southampton 2-1 pada aksi pusingan ketiga yang berlangsung di Anfield awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, The Reds memastikan mereka melangkah ke pusingan seterusnya menerusi dua jaringan yang dilakukan Alexander Isak dan Hugo Ekitike manakala gol Southampton dijaringkan Shea Charles.
Paling mencuri tumpuan adalah jaringan menerusi Isak yang mula membuka akaun jaringan bersama Liverpool selepas melengkapkan penghijrahan dari Newcastle United menerusi rekod perpindahan British.
“Sangat luar biasa. Saya gembira apabila dapat kembali menjaringkan gol dan kali pertama di Anfield. Ia malam yang hebat kerana kami juga menang.
“Saya sepatutnya menjaringkan gol ketika mendapat peluang pertama, tetapi ia adalah sebahagian daripada seorang penyerang, anda terlepas satu, tetapi anda sempurnakan yang lain.
“Saya hanya beraksi dengan kemampuan yang saya ada. Keyakinan membuatkan saya yakin untuk melakukan jaringan dan itu mentaliti yang saya pegang,” katanya yang dikeluarkan selepas babak pertama berakhir.
Sementara itu, Pengurus Liverpool, Arne Slot menyelar tindakan kurang bijak Ekitike yang meraikan gol kemenangan dengan cara menanggalkan jersi sehingga menerima layangan kad kuning kedua dan dibuang padang.
“Dia (Ekitike) tidak perlu meraikannya seperti itu, bagi saya ia tindakan bodoh. Kad kuning pertama pun sepatutnya boleh dielak, apatah lagi kad kuning kedua yang bagi saya kurang bijak.
“Anda perlu kawal emosi kerana apa sahaja yang dilakukan boleh mengundang layangan kad. Mengapa perlu kutip layangan kad sekiranya ada cara yang boleh mengelakkan keputusan tersebut,” kata Slot. – AGENSI