LINCOLN – Chelsea berdepan detik cemas apabila ketinggalan satu gol sebelum bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lincoln City pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium Sincil Bank awal pagi semalam.
Pasukan juara dunia itu tersentak seketika apabila ketinggalan 0-1 pada minit ke-42 hasil jaringan Rob Street sebelum meledak dua gol di separuh masa kedua menerusi Tyrique George dan Facundo Buonanotte.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengakui beberapa perubahan taktikal dilakukan di separuh masa kedua selain meluahkan rasa kecewa kepada pemain-pemainnya menjadi ‘kunci’ kebangkitan The Blues.
“Memang benar saya ada mengeluarkan kata-kata yang sedikit keras kepada pemain-pemain ketika waktu rehat. Saya faham ada antara mereka yang tidak mahu bermain dalam perlawanan seperti ini.
“Saya tanya pemain-pemain adakah mereka kerap bermain menentang pasukan Liga Satu. Bagi saya, perlawanan seperti ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.
Justeru, pengendali dari Itali itu berharap barisan pemainnya menjadikan perlawanan tersebut sebagai iktibar dan jangan memandang rendah keupayaan pasukan-pasukan dari liga bawahan.
“Semua orang tahu pasukan-pasukan dari liga bawah akan menggandakan usaha jika bertemu pasukan seperti kami. Saya yakin pemain-pemain sudah belajar sesuatu jika bertemu pasukan seperti ini lagi,” ujar Maresca. – AGENSI