fbpx
Allahyarham Zara Qairina

Zara Qairina berteriak ‘aku tidak curi bah, bodoh!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Saksi kedua kanak-kanak dalam inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir mengesahkan bahawa terdapat unsur buli di Asrama Qurratu ‘Ayun, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

Asrama tersebut mempunyai dua blok kediaman pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah yang merupakan blok kediaman pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dan lokasi remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dan Blok B, Sumayyah.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili Pelajar A ketika ditemui media selepas Mahkamah Koroner berhenti pada waktu tengah hari.

Pelajar A yang merupakan salah seorang daripada lima remaja didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mencela terhadap Zara Qairina.

“Saksi kanak-kanak kedua sedang beri keterangan dan setakat ini keterangan yang diberikan adalah okay. Terdapat dakwaan mengenai buli tetapi tidak membabitkan anak guam kami, Pelajar A. Berdasarkan keterangan saksi ini, terdapat unsur buli, terdapat salah faham dan kecurian berlaku,” kata Ram.

Sementara itu, Joan Goh, seorang lagi peguam mewakili Pelajar A ketika ditemui berkata, segala dakwaan yang membawa kejadian malang itu bermula daripada tuduhan mencuri.

“Kesemuanya bermula dengan dakwaan membabitkan kes curi. Ia rentetan daripada beberapa kes terdahulu dan terkumpul pada hari kejadian. Saya rasa, apabila terdapat tuduhan mencuri di asrama, penghuni yang ada cuba mencari punca kejadian,” kata peguam itu.

Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi kanak-kanak kedua yang juga saksi inkues ke-10, menunjukkan ketika Zara Qairina disoal jawab, bahawa Pelajar A tidak berada di bilik asrama kerana sedang membasuh pakaian.

Berdasarkan keterangan ketua warden, Azhari Abd. Sagap, lima pelajar mengaku menjalankan soal siasat terhadap Zara Qairina sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di aras bawah asramanya.

Zara Qairina duduk di bilik A3-5 manakala dia dipanggil untuk disoal siasat di bilik A3-6. Setiap bilik menempatkan 11 pelajar.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak sekolah, pada malam sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, ketua dorm telah menerima aduan mengenai kehilangan barang iaitu wang, kad pengenalan dan kad bank.

Selepas disoal siasat, Zara Qairina kembali ke biliknya sambil menangis dan turut berteriak ‘aku tak curi bah, bodoh!’.

Zara Qairina kemudian dilihat keluar dari bilik menuju ke tandas yang merupakan lokasi terakhir remaja itu dilihat sebelum ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di aras bawah blok asrama berke­naan.

Mahkamah Koroner dijangka akan mendengar keterangan saksi kanak-kanak ketiga petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN