fbpx
PUTERA Iman Shah Shahiran dibantu kakitangan UUM ketika mendaftar sebagai pelajar baharu di kampus universiti itu di Sintok, semalam.

Yuran pengajian Putera Iman Shah di UUM dikecualikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pelajar yatim piatu yang mendaftar seorang diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam akan diberi pengecualian yuran pengajian sepanjang pengajian di universiti itu.

Pelajar terbabit, Putera Iman Shah Shahiran, 19, juga akan disediakan penginapan, kelengkapan seperti komputer riba serta perbelanjaan asas yang diperlukan bagi memastikan pembelajaran berjalan lancar.

Putera Iman Shah kehilangan ibu sejak berusia 13 tahun manakala bapanya pada bulan lalu.

Kisahnya itu mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang memberikan kata-kata semangat kepadanya menerusi panggilan video.

Zambry memaklumkan kementerian akan memberikan sokongan kepada Putera Iman Shah melalui Program Sulung, iaitu inisiatif khas bagi membantu anak pertama dalam keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang pelajar terbabit dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan matrikulasi sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke UUM.

“Semangat yang cekal dalam dirinya menjadi kekuatan untuk terus belajar dan mencapai kejayaan. Teruskan usaha bagi merentas cabaran hidup dan insya-Allah pada masa hadapan mampu menjadi seorang pemimpin yang hebat,” katanya.

Zambry pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan dan pengurusan universiti atas keprihatinan ditunjukkan kepada pelajar terbabit.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang remaja yang merupakan yatim piatu hadir seorang diri ke UUM bertemankan beg hitam besar dengan langkah longlai demi segulung ijazah.

Kesedihan Putera Iman Shah yang kehilangan ibu sejak tingkatan satu dan bapanya pula bulan lalu bagaimanapun sedikit terubat apabila disambut mesra kakitangan UUM ketika tiba di Stesen Keretapi Arau, Perlis pada pukul 12.15 tengah hari semalam.

Dia kehilangan bapa, Shahiran Pake Chi beberapa minggu sebelum mendaftar ke UUM manakala ibunya, Khatijah Mohd Rashid meninggal dunia pada 2019.

Putera Iman antara 4,549 pelajar baharu yang ditawarkan tempat di UUM bagi mengikuti 48 program pengajian sarjana muda bagi sesi 2025/2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI