fbpx
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) ketika menghadiri majlis pelancaran projek Westin Residences Penang di George Town, hari ini.

Westin Residences Penang mercu tanda hartanah mewah di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Mercu tanda kediaman mewah baharu bakal mewarnai landskap hartanah Pulau Pinang apabila Westin Residences Penang dilancarkan secara rasmi, hari ini.

Projek pembangunan yang terletak di Gurney Bay itu akan menjadi bangunan kediaman tertinggi di Utara Semenanjung dengan ketinggian 69 tingkat, lengkap dengan ciri kalis gempa bumi.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pengerusi Westfield Global Sdn. Bhd., diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Westfield Global, Datuk Yeoh Yih Sean, projek itu menerima sambutan amat menggalakkan sejak pra-pelancaran dengan kadar jualan mencecah 75 peratus.

“Sambutan ini jelas membuktikan permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman berjenama yang menawarkan gaya hidup bertaraf antarabangsa, disokong reputasi kukuh Marriott International,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Westin Residences Penang di sini, hari ini.

Gambaran artis bagi pembangunan Westin Residences Penang.

Beliau berkata, pencapaian itu turut mencerminkan keyakinan para pembeli terhadap prospek pembangunan hartanah mewah di Pulau Pinang.

“Westin Residences Penang menawarkan pelbagai pilihan unit bermula daripada 1,033 kaki persegi sehingga 3,670 kaki persegi, dengan harga sekitar RM2,000 bagi setiap kaki persegi.

“Projek ini dijangka menjadi penanda aras baharu dalam segmen kediaman mewah berjenama, sekali gus melengkapkan portfolio Marriott International di negeri ini selepas kejayaan Penang Marriott Hotel dan Marriott Residences,” katanya.

Tambahnya, kerjasama berterusan dengan Marriott International bukan sahaja memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan utama, malah menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Selain itu, katanya, Pulau Pinang yang terkenal dengan warisan budaya dan komuniti dinamik kini dilihat terus menonjol sebagai destinasi global untuk didiami, bekerja dan beriadah dengan adanya pembangunan berimpak tinggi seumpama ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN