KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja perobohan jeti atau pangkalan haram di Sungai Golok.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, berdasarkan bentuk muka bumi di kebanyakan lokasi pangkalan haram sukar untuk merencanakan sebarang projek berikutan kawasannya sempit.
Menurutnya, selain itu, jeti atau pangkalan haram juga terletak di kawasan yang memanjang selain berada di persisiran atau tebing sungai.
“Bagaimanapun, kita akan lihat semula. Jika lokasi itu strategik, kita akan fikirkan sesuatu. Setakat ini, kerajaan negeri sendiri belum ada sebarang perancangan di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, buat masa ini, belum ada pemilik jeti di Sungai Golok datang dan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai tindakan perobohan yang bakal dilaksanakan pada pertengahan Oktober.
“Tindakan perobohan tetap perlu dilaksanakan kerana ia merupakan langkah yang penting dalam usaha pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia mencegah aktiviti penyeludupan terutamanya dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE