KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak ketiga akan memberi keterangan petang ini di Mahkamah Koroner pada prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Saksi berkenaan memberi kesaksian sejurus saksi kanak-kanak kedua selesai memberi penerangan di mahkamah sama.
Peguam, Datuk Ram Singh berkata, saksi kedua setakat ini memberi keterangan dalam keadaan baik.
“Prosiding pada sebelah pagi mengambil masa panjang. Ia berikutan membabitkan pasukan peguam daripada pihak ibu dan bapa Zara Qairina yang mengemukakan soalan.
“Apabila selesai, kita akan mula dengan seorang lagi saksi yang juga saksi kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Ram menyatakan pegawai pengendali inkues sudah menyediakan dua lagi saksi untuk sesi hari ini, namun kemungkinan hanya seorang sempat dipanggil. – KOSMO! ONLINE