KUALA LUMPUR – Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara semalam bagaikan pesta apabila diserbu orang ramai yang berlumba-lumba hendak menukar MyKad rosak secara percuma susulan pengumuman kerajaan berhubung inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) kelmarin.
Mereka beratur seawal pukul 8 pagi untuk mendapatkan 100 nombor giliran terawal sehingga ada yang terpaksa datang semula di sebelah petang ekoran kaunter kehabisan angka menunggu.
Difahamkan, setakat tengah hari semalam lebih 100 permohonan telah diterima di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan di sini.
Sariza Abdul Rahman, 58, berkata, dia menukar MyKad selepas dimaklumkan proses tersebut selesai dalam tempoh 30 minit dan percuma.
“Sekejap saja, lagi pun ia lebih mudah dan tidak perlu tunggu lama,” katanya.
Azlan Abdullah, 48, pula mengakui terpaksa datang semula ke pejabat JPN selepas nombor giliran habis diagihkan pada waktu pagi.
“Mereka maklumkan nombor seterusnya hanya dikeluarkan pada pukul 2 petang, jadi saya kena tunggu dan datang balik. Harap perkhidmatan dipercepatkan sebab memang ramai orang mahu tukar MyKad rosak,” ujarnya.
Kelmarin, KDN mengumumkan penukaran cip MyKad rosak secara percuma mulai semalam hingga 7 Oktober 2025 di semua kaunter JPN.
Langkah ini memastikan rakyat dapat menikmati subsidi Budi Madani RON95 tanpa gangguan akibat masalah teknikal pada MyKad.
Di Johor Bahru, JPN UTC Galleria@Kotaraya di sini turut sesak dengan orang ramai untuk tujuan yang sama.
Marsina Sariyaty, 63, dia mahu menukar secepat mungkin walaupun kerajaan memberi tempoh penukaran percuma sehingga 7 Oktober depan.
“Lebih 30 tahun tak pernah tukar. Bila kerajaan umum saya terus tukar dan selesai tidak sampai sejam,” katanya.
Siscca Asriyani Yunirman, 34, dari Kampung Melayu Majidee pula berkata, dia turut mengambil kesempatan susulan kemudahan disediakan pihak kerajaan.
“Saya mahu semak cip MyKad kerana mahu guna untuk beli minyak subsidi RON95,” katanya.

Di Putrajaya, kaunter ibu pejabat JPN di sini kelihatan sesak hingga 100 nombor giliran terawal habis diagihkan seawal pukul 8 pagi.
Tinjauan mendapati, rata-rata orang ramai mahu menukar MyKad rosak akibat cip rosak, kad patah dan lain-lain.
Mohd. Ibnor Fariq, 34, berkata, dia menukar MyKad secara kebetulan kerana datang dari Segamat, Johor untuk melawat ibu saudara di sini.
“Proses begitu cepat. Cip MyKad saya tidak boleh dibaca ketika hendak tebus kredit Sumbangan Asas Rahmah baru-baru ini,” katanya.
Rohaya Ariffin, 53, pula berkata, dia mahu memeriksa keadaan MyKad miliknya kerana tidak mahu sebarang masalah apabila mahu membeli RON95 kelak.
Cairul Nadzim Mohd. Yusof, 51, berkata, dia mahu tukar alamat dan mengambil kesempatan daripada pengumuman boleh dilakukan secara percuma.
Di George Town, JPN di UTC Kompleks Tun Abdul Razak di sini turut sesak sehingga pukul 12 tengah hari.
Muhammad Amirul Zuhair Mohd. Fariduddin, 24, berkata, dia datang dari Arau, Perlis semata-mata mahu menukar MyKad kerana tidak mahu berdepan kesulitan ketika membeli RON95 kelak.
“Datang awal tak kalut. Saya sanggup tunggu lama dan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang, dengan harapan elak sesak dan dapat MyKad awal, sebelum program itu bermula,” katanya.
Muhammad Haikal, 29, pula memberitahu, dia sanggup ambil cuti kerja semalam semata-mata mahu menggantikan cip MyKad miliknya yang sudah rosak sejak tahun lalu.
Di Shah Alam, kesesakan di kaunter JPN di Anggerik Mall di sini tidak menjadi halangan orang ramai menukar MyKad.
Shaun Quake Zhun Zian, 35, berkata, dia menukar MyKadnya yang patah selepas terlibat kemalangan baru-baru ini.
Nurelisha Fatiha Mustapa, 26, berkata, dia menyedari MyKadnya rosak ketika hendak mengeluarkan wang dua minggu lalu.
“Saya difahamkan kalau tukar cip dikenakan RM10. Bermula hari ini (semalam) percuma, jadi satu peluang yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.















