PETALING JAYA – Rakyat Malaysia diminta mendoakan keselamatan dan kejayaan pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkembangan terkini misi kemanusiaan itu amat membimbangkan.
“Kapal-kapal flotilla dilaporkan menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman ketika semakin hampir dengan zon kritikal. Ini termasuk letupan, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi.
“Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengesahkan insiden ini dan menyeru agar flotilla ini diberi perlindungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Na’im berkata, semangat juang para sukarelawan dalam misi kemanusiaan GSF termasuk wakil dari Malaysia bagaimanapun tidak pernah luntur.
Menurutnya, mereka bertekad meneruskan misi mulia itu demi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terperangkap dalam kepungan haram Israel.
Ujar beliau, misi kemanusiaan GSF adalah simbol solidariti global dan menunjukkan bahawa seluruh dunia berdiri teguh bersama rakyat Palestin.
“Marilah kita tingkatkan doa, semoga Allah S.W.T melindungi setiap nyawa yang terlibat dalam misi ini, mempermudahkan segala urusan mereka dan memastikan bantuan ini sampai.
“Semoga usaha ini diberkati dan menjadi asbab terangkatnya penindasan di bumi Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE