fbpx
Zakaria (berdiri) ketika menjalankan soal siasat terhadap wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan ke atas pusat urut di sekitar Puchong dan Kuala Lumpur.

Premis urut untung RM300,000 pakej mandi bersama pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menggempur beberapa pusat urut di sekitar Puchong dan Kuala Lumpur yang dikesan menawarkan perkhidmatan tambahan termasuk mandi bersama pelanggan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan selepas menerima aduan awam dan hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya selama dua minggu.

Menurut Zakaria, modus operandi premis berkenaan adalah beroperasi sebagai spa dan pusat refleksologi pada siang hari dengan nama serta dekorasi formal, sebelum berubah menawarkan khidmat tidak bermoral pada waktu malam.

“Malah, promosi dilakukan secara agresif melalui kad perniagaan, media sosial, aplikasi mesej WhatsApp dan Telegram dengan menawarkan pakej menarik.

“Antaranya termasuk pakej ‘water bath’ iaitu mandi bersama pelanggan, selain perkhidmatan seks dengan kadar bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung kepada pakej dan masa dipilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, premis berkenaan didapati turut menyediakan bilik persendirian dan ruang tertutup khas untuk pelanggan.

Katanya, setiap premis mampu meraih keuntungan mencecah RM300,000 sebulan hasil kegiatan haram tersebut.

Sehubungan itu, Zakaria berkata, seramai 42 individu diperiksa dalam serbuan terbabit terdiri daripada dua lelaki dan 29 wanita warga asing serta 11 warga tempatan.

“Seramai 28 warga asing berusia 21 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada dua wanita Thailand, seorang lelaki dan tiga wanita China, lima wanita Myanmar, 12 wanita Indonesia, empat wanita Vietnam serta seorang lelaki India,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak tujuh saman (Borang 29) dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di lokasi kejadian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN