fbpx
Mohd. Khalid menunjukkan foto enam suspek terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang kini diburu polis pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

Op Jack Sparrow: Kumpulan jenayah terancang tumpas, 17 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan pembunuhan, rompakan bersenjata serta serangan demi mengejar pengaruh kuasa dan habuan, sejak dua tahun lalu.

Kegiatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Ops Jack Sparrow hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, seramai 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan menerusi beberapa siri serbuan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

“Kesemua suspek yang ditahan merupakan sebahagian daripada kira-kira 33 ahli kumpulan yang diketuai seorang lelaki tempatan dan aktif sejak 2023.

“Kumpulan ini pernah menimbulkan kebimbangan umum apabila melakukan serangan di sebuah restoran di Taman Sentosa, Klang, awal tahun ini hingga menyebabkan kematian serta tular di media sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd. Khalid berkata, siasatan mendapati motif utama kumpulan itu adalah bagi meraih keuntungan serta perebutan pengaruh, malah turut dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah dan along.

“Daripada jumlah keseluruhan, enam lagi ahli kumpulan masih bebas dan sedang diburu pihak polis.

“Siasatan awal juga mendapati 17 suspek yang ditahan mempunyai 80 rekod jenayah lampau termasuk 34 berkaitan dadah,” ujarnya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) bagi meneliti saluran kewangan kumpulan itu,” katanya.

Mohd Khalid menegaskan, tiada ruang toleransi untuk kumpulan jenayah yang menggugat keselamatan negara.

“Kejayaan ini hasil risikan dan penguatkuasaan bersepadu, ia memberi mesej jelas bahawa mana-mana pihak yang cuba mencabar undang-undang akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai saki-baki kumpulan yang masih bebas dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan jenayah atau dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI