fbpx
DACHAINI (baju biru) dan Lavanyaa didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini atas pertuduhan melakukan hantaran palsu terhadap seorang pelajar pada Jun lalu. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON/ KOSMO!

Naib Canselor, Ketua HEP, Kaunselor Manipal didakwa sebar ‘aib’ pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Naib Canselor, Ketua Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Kaunselor Kolej Universiti Manipal Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuat hantaran palsu terhadap pelajar institusi pengajian itu Jun lalu.

Tertuduh, Prof. Dr. G. Jayakumar, 63, K. Dachaini, 40 dan J. Lavanyaa, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Jayakumar dan Lavanyaa didakwa bersubahat dengan Dachaini melakukan hantaran palsu terhadap pelajar lelaki berusia 23 tahun menggunakan e-mel rasmi pentadbiran hal ehwal pelajar Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected].

Oleh itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dachaini pula didakwa menggunakan kemudahan rangkaian e-mel rasmi pentadbiran hal ehwal pelajar Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected] secara sedar memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat sama.

Pendakwaan dibuat dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kesemua kesalahan itu dilakukan pukul 5.44 petang, 6 Jun lalu di kolej universiti berkenaan.

Difahamkan, e-mel itu memaklumkan keputusan pihak universiti untuk tidak membenarkan mangsa mewakili institusi itu dalam mana-mana pertandingan e-sukan.

Keputusan dibuat susulan laporan siasatan dalaman yang dijalankan berhubung dakwaan kemenangan diraih pelajar terbabit sebelum ini dalam pertandingan Mobile Legend dipercayai disebabkan penglibatan pihak luar.

E-mel tersebut boleh diakses oleh pelajar institusi tersebut sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati mangsa dan keluarganya kerana dianggap mencemarkan imej dan memalukan dirinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik mencadangkan jaminan RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan melapor diri setiap bulan di balai polis dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Peguam Harvinderjit Singh dan Farhan Read bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guam mereka menanggung ahli keluarga dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah membenarkan Jayakumar dan Dachaini diikat jamin RM15,000, manakala Lavanyaa RM9,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN