KEMAMAN – Kawasan paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Kerteh, di sini yang bocor lima hari lalu diisytihar selamat dan bebas daripada pencemaran gas butana sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, pemantauan selama dua hari oleh alat pengesanan gas (LEL) mengesahkan kandungan gas tersebut di lapan lokasi terlibat konsisten berada pada tahap sifar.
“Petronas juga telah menyuntik gas nitrogen di dalam paip saluran bagi mengesan kehadiran gas butana.
“Alhamdulillah bacaan LEL tetap positif berada pada tahap sifar. Sehubungan itu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup secara rasmi pada pukul 4 petang tadi,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, selepas ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu pasukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memasuki lokasi insiden bagi melakukan siasatan.
Beliau berkata, pihak Petronas hanya akan dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan terhadap paip gas yang pecah tersebut selepas JKKP selesai melakukan siasatan.
Sementara itu, Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya sedia membantu JKKP terutama memantau bacaan semasa udara sekiranya memerlukan sepanjang tempoh siasatan kelak. – KOSMO! ONLINE