fbpx
Zack tidak kisah dengan tanggapan masyarakat yang mengecam dirinya menjadi suri rumah sejak dua tahun lalu.

Isteri tentera darat, Zack nekad jadi suri rumah jaga anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lama menghilang dari radar seni, pelakon dan penyanyi, Zack X-Factor nekad dengan keputusan untuk menjadi suri rumah sejak dua tahun lalu.

Menurut Zack atau nama sebenarnya Zachery Francis Abu, 48, dia dan isteri yang bertugas sebagai tentera darat terpaksa mengalah soal penjagaan dua orang anak mereka yang masing-masing berusia 10 dan dua tahun.

“Saya pernah hantar anak ke pusat asuhan. Tetapi bila balik rumah saya lihat ada lebam sana sini. Jadi selepas berbincang kami sepakat bahawa salah seorang perlu berhenti kerja dan menjaga anak-anak.

“Jadi saya buat keputusan untuk mengalah dan mengambil alih tugas menjaga anak. Biarlah saya merasa bagaikan rasanya menjaga anak-anak.

“Selepas menjaga anak-anak apa yang boleh saya katakan bukan satu tugas yang mudah. Jika diberi pilihan antara bekerja dan menjaga anak-anak saya akan pilih bekerja,” katanya ketika ditemui pada konsert Elite Live ’25 baru-baru ini.

Tambah pelakon yang popular menerusi drama bersiri Si Capik itu lagi, setiap pasangan suami isteri perlu menghargai dan menyayangi pasangan yang memilih untuk menjadi suri rumah kerana tugas itu tidak mudah.

Ditanya bagaimana dia berdepan dengan persepsi orang tentang tugasnya sebagai suri rumah, kata Zack dia tidak peduli akan tanggapan masyarakat.

“Saya tak peduli apa orang nak kata. Inilah peluang saya untuk menjaga anak-anak,” ujarnya.

Sepanjang dua tahun bergelar Suri rumah, Zack akui banyak menolak tawaran lakonan kerana enggan menyusahkan pihak produksi.

“Saya tak mahu kelancaran penggambaran terganggu disebabkan saya. Jadi lebih baik tolak daripada membebankan pihak produksi dan diri saya sendiri. Biarlah saya berkorban.

“Awal-awal dulu saya rasa agak berat juga untuk menggalas tugas menjaga anak-anak sepenuh masa kerana tidak tahu bagaimana perjalan hidup. Tak tahu taraf kewangan macam mana sama ada kukuh atau tidak.

“Tetapi saya bernasib baik kerana isteri saya seorang tentera. Soal tempat tinggal tiada masalah kerana kami tinggal di dalam kem. Saya sudah biasa tinggal dalam kem sejak kecil kerana bapa saya merupakan seorang tentera udara,” kongsinya.

Kini selepas berjumpa semula dan bergabung dengan teman-teman lamanya di konsert Elite tempoh hari, Zach terbuka untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Terdahulu kehadiran Zack dan empat anggota X-Factor yang lain iaitu Danny, Fendi, Shah dan Jim di konsert Elite minggu lalu menjadi sorotan ramai kerana masing-masing masih kelihatan kacak dan mampu menyanyi dengan baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN