BIARPUN terlepas slot secara merit ke Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan, impian pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk beraksi di pentas tertinggi itu tidak pernah padam.
Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, dia tidak mempunyai Pelan B dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pengurusnya yang juga bekas pelumba MotoGP, Zulfahmi Khairuddin untuk menentukan hala tuju kariernya musim depan.
Selepas menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di tangga ketiga keseluruhan, Hakim Danish kini fokus untuk membuktikan kemampuannya kerana percaya peluang ke Moto3 masih terbuka.
“Secara peribadi, saya memang nak pergi ke Kejuaraan Dunia tahun hadapan kalau diberikan peluang.
“Saya belum ada pelan B lagi, tetapi saya hanya ikut Abang Fahmi (Zulfahmi) punya keputusan. Saya serahkan semua keputusan kepadanya kerana dia yang menguruskan saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Anak jati Terengganu itu bukan sahaja mengimpikan untuk ‘melengkapkan jadual’ di Moto3, sebaliknya memasang cita-cita besar supaya kekal lama dan melangkah lebih jauh sehingga ke kelas perdana, MotoGP.
Jika diberi peluang, dia mahu menjadi pelumba yang mampu memberi saingan dan tidak mahu nasibnya berakhir seperti sesetengah pelumba apabila hanya bertahan semusim.
“Kalau diberikan peluang ke Moto3, saya nak kekal lama dalam Kejuaraan Dunia. Saya nak teruskan lagi, bukan sahaja nak berhenti dalam Moto3, tetapi nak pergi ke peringkat lebih tinggi lagi sampai impian ke MotoGP.
“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk itu dan menjadi pelumba MotoGP Malaysia kedua selepas Hafizh Syahrin,” ujarnya penuh semangat.
Mengulas mengenai prestasinya yang sedikit merosot pada tiga pusingan terakhir Rookies Cup, Hakim Danish mengakui ia adalah kelemahan perlu diperbaiki dan menafikan dia beraksi dalam keadaan tertekan.
“Tiga pusingan terakhir prestasi saya agak kurang baik. Tetapi saya akan perbaiki lagi kelemahan ini. Tiada tekanan, saya hanya fikir untuk maju ke hadapan dan cuba untuk bagi keputusan yang baik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE