PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat berserta angin kencang di tiga negeri hingga pukul 3 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat ialah Pulau Pinang dan beberapa daerah sekitar Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung dan Bagan Datuk).
Selain itu, bagi negeri Johor, cuaca buruk yang sama turut tertumpu di Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mili meter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE