fbpx
SEPERTI tiada noktah, biarpun bakal memasuki siri ketiga, M. Nasir memberi gambaran meneruskan jenama Cipta sehingga ke berapa kali pun lagi pada masa hadapan.

‘Harap konsert Cipta boleh pergi lebih daripada 10’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEGENDA muzik tanah air, Datuk M. Nasir sekali lagi membuktikan, tiada apa yang boleh menghalang adrenalin muzik dan kesenimannya.

Selepas mencipta fenomena melalui dua siri terdahulu, maestro berusia 68 tahun itu kembali menggegarkan pentas dengan penganjuran konsert M. Nasir Cipta 3 yang bakal berlangsung pada 27 September ini di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

Mengangkat tema Malam Ini Gua Rock, penganjuran konsert anjuran Icon Entertainment tersebut dijanjikan sebagai persembahan berbeza.
Penonton turut digalakkan hadir dengan gaya bebas melalui tema pakaian ‘Rock Cara Lu… Janji Rock, sekali gus simbolik kebebasan ekspresi yang menjadi roh acara.

Kejutan demi kejutan sentiasa menjadi resipi magis seorang legenda. Dua siri terdahulu membuktikan tiada siapa mampu menduga apa langkah seterusnya insan seni bergelar Sifu itu.

Masih basah dalam ingatan, kejutan epik pada Cipta 2 apabila wang kertas RM1 berterbangan dari langit, mencipta sejarah yang belum pernah dilakukan mana-mana konsert.

Kali ini, persoalan yang bermain di benak ramai, kemungkinan apa lagi gimik menanti pemujanya.

Berpeluang bertemu empat mata semasa sesi latihan konsert Cipta 3 baru-baru ini, penulis segera bertanyakan perihal yang ditunggu-tunggu itu.

SEPERTI tiada noktah, biarpun bakal memasuki siri ketiga, M. Nasir memberi gambaran meneruskan jenama Cipta sehingga ke berapa kali pun lagi pada masa hadapan.

Ketika diajukan soalan tersebut, pemilik nama sebenar Mohd. Nasir Mohamed itu sekadar tersenyum penuh makna.

“Mungkin ada, mungkin tidak. Namanya kejutan, takkan saya nak kongsikan sekarang,” selorohnya sambil menambah bahawa konsert kali ini akan dipenuhi dengan ‘attitude rock’ demi memberikan rasa segar buat para penonton.

Berbicara soal persiapan, pelantun lagu Tanya Sama Itu Hud Hud itu mengakui kerja keras sudah mencapai tahap meyakinkan.

“Latihan tidaklah dibuat dengan terlalu progresif, tapi tahap kesediaan boleh dikatakan antara 50 ke 70 peratus,” ujarnyav

Lebih menarik, pemilihan lagu dianggap isu paling mencabar kerana perlu menapis karya agung sepanjang empat dekad kariernya.

Antara karya yang bakal berkumandang termasuklah lagu ciptaan untuk Wings, Search, Spring, selain lagu dendangan nama besar seperti Datuk Hattan dan Ratu Rock, Ella.

“Sebahagian daripada pemilihan lagu adalah untuk memberi penghormatan terutamanya kepada Wings dan Search.

“Tujuan kita untuk menghiburkan serta mengembalikan semula nostalgia.

“Dari mula-mula lagi sebenarnya saya sudah bayangkan lagu yang nak dibawakan,” jelasnya.

Daripada lebih 40 buah lagu yang disenaraikan, proses saringan dilakukan secara teliti dengan mengambil kira populariti, kesesuaian vokal, serta peluang untuk memberi nafas baharu dalam susunan muzik.

Tidak sendirian, M. Nasir turut menerima buah fikiran daripada pemuzik pengiringnya, termasuk Aznan Alias dan Awe.

“Macam Aznan, dia memang peminat lagu-lagu lama saya. Dia selalu cadangkan lagu-lagu yang saya tak terfikir nak buat.

“Begitu juga dengan Awe, dia pun antara yang mencadangkan lagu yang saya patut bawa malam itu.

“Kita juga dengar apa yang peminat cakap dan sarankan, kemudian kami akan bincang sesama sendiri,” tuturnya.

SEBAGAI komposer, M. Nasir mengakui harus menyesuaikan vokal dengan lagu-lagu ikonik ciptaannya untuk penyanyi lain. Perkara tersebut antara yang diberi penekanan sepanjang persiapan konsert bertema rock kali ini. – SYAKIR RADIN

Namun bukan mudah untuk menyelami semula karya yang sebati dengan suara asal penyanyi lain. Menghafal lirik serta menyesuaikan emosi dianggap cabaran paling besar.

“Bukan semua lagu saya hafal. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang lain, saya tidak hafal. Jadi, untuk menghafalnya semula itu adalah satu cabaran yang besar.

“Satu lagi adalah menghasilkan gubahan muzik segar bagi karya yang sudah pun berstatus malar segar.

“Gubahan lama itu sudah menjadi legenda. Kita tidak boleh ikut begitu sahaja, tetapi pada masa yang sama perlu disesuaikan dengan vokal saya juga,” katanya.

Lebih daripada sekadar konsert, Cipta 3 dilihat sebagai sebuah trilogi seni yang terus berkembang.

Justeru, M. Nasir percaya jenama tersebut mampu melangkaui edisi ketiga, malah menjadi legasi abadi seni muzik tanah air.

“Kita harap benda ini boleh pergi lebih daripada sepuluh. Kita tengoklah.

“Sebab bagi saya, lebih daripada 50 peratus konsert ini adalah untuk menghiburkan orang. Orang sudah tahu lagu itu, maksudnya pun mereka tahu.

“Tapi persoalannya, adakah kita mampu menyentuh hati mereka kelak?” katanya dengan nada penuh pengharapan.

Konsert berskala mega tersebut bukan sahaja menjanjikan hiburan, malah saksi bagaimana seorang legenda terus menyemarakkan semangat rock meskipun usia sudah meniti senja. Sifu tetap Sifu dan Axiata Arena sekali lagi saksi hayat seninya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI