fbpx
Sebuah kereta pacuan empat roda dinaiki tonto dikesan mengekori kenderaan penguat kuasa JPJ di kawasan Nilai hingga ke Jalan Labu hari ini. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP / KOSMO!

Geng tonto ekori rapat kenderaan penguat kuasa JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kehadiran geng tonto yang dipercayai diupah sebagai ‘mata-mata’ syarikat kenderaan perdagangan dilihat tidak gentar dan secara terang-terangan mengekori pihak berkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kegiatan tersebut dikesan dalam operasi penguatkuasaan lori membawa lebih muatan oleh JPJ Negeri Sembilan di sekitar kawasan Nilai hingga ke Jalan Labu di sini hari ini.

Wartawan Kosmo! yang turut menyertai operasi itu mengesan kehadiran dua buah kenderaan pacuan empat roda digunakan tonto yang berlegar-legar sebelum mengekori rapat kenderaan peguatkuasa JPJ

Salah sebuah kenderaan itu segera beredar dari lokasi sebaik menyedari gambar mereka dirakam pihak media.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, tonto kelihatan mengekori rapat semula kenderaan JPJ tetapi segera membelok masuk ke sebuah kedai alat perkakasan sebaik mengetahui terdapat kenderaan JPJ lain di belakang.

Difahamkan, situasi tersebut bukanlah perkara baharu dilalui anggota penguat kuasa, malah ada ketikanya sehingga lima kenderaan tonto cuba menganggu tugas mereka.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof berkata, pihaknya mengesan kehadiran tonto yang aktif di beberapa laluan strategik di negeri inibseperti Nilai, Pedas dan Kuala Pilah.

Menurut Hanif Yusabra, bagi mengaburi pihak berkuasa geng tonto itu turut dikesan menggunakan pelbagai jenis kenderaan termasuklah motosikal kapcai dan kereta sewa.

“Dalam sesetengah keadaan, penguat kuasa JPJ pernah diekori sehingga lima buah kenderaan tonto,” ujarnya.

Jelas Hanif Yusabra, mereka akan menggunakan walkie-talkie dan aplikasi mesej untuk menyalurkan maklumat operasi JPJ selain turut disertakan dengan gambar kenderaan JPJ, nombor plat dan lokasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN