PETALING JAYA – Kerajaan Madani akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui pendekatan diplomasi bantuan kemanusiaan dan doa yang tidak pernah putus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, Palestin adalah amanah ummah.
“Sebagai Menteri Agama saya tegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Doa kami sentiasa bersama Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohd. Na’im memaklumkan, beliau mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali hari ini.
Menurut beliau, pertemuan itu membuka ruang perbincangan yang penuh makna dan keinsafan dengan berkongsi pandangan tentang usaha memperkukuh solidariti ummah.
Kata beliau, perbincangan turut menjurus tentang peranan Malaysia dalam menyuarakan keadilan dan kemanusiaan buat rakyat Palestin yang terus dizalimi.
“Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperjuangkan hak dan maruah saudara-saudara kita di bumi Al-Quds,” katanya. – KOSMO! ONLINE