fbpx
Ahmad Zahid semasa sidang video bersama Ahmad Musa yang menyertai misi kemanusian GSF ke Gaza.

‘Doa adalah senjata kita, moga bantuan sampai ke Gaza’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa supaya semua sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selamat susulan beberapa serangan dron sebelum ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan terhadap pasukan flotila itu amat membimbangkan kerana ia menggadaikan nyawa dan keselamatan sukarelawan yang berjuang membawa bantuan kepada rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, saya berpeluang melakukan panggilan video bersama Musa Al-Nuwayri, salah seorang rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi ini.

“Saya mendapat sedikit kelegaan apabila mendengar perkhabaran mereka secara langsung,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua peserta dari Malaysia dilaporkan selamat dan tetap bersemangat untuk meneruskan misi tersebut biarpun berhadapan dengan pelbagai risiko dan cabaran.

“Doa kita adalah senjata, solidariti kita adalah kekuatan. Semoga misi ini dipermudahkan dan bantuan sampai kepada saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.

Terdahulu, semasa panggilan video tersebut, wakil pelayaran misi kemanusiaan GSF, Ahmad Musa Al-Nuwayri memaklumkan, konvoi terbabit berbaki 750 batu nautika lagi sebelum menghampiri laut Gaza.

Jelas beliau, walaupun mereka teruk diserang oleh dron-dron dari Israel, tetapi kesemua sukarelawan masih bersemangat untuk meneruskan pelayaran ke bumi Gaza.

“Semalam adalah malam yang panjang untuk kami para peserta GSF, kami tak tidur sampai pukul 5 pagi kerana berjaga-jaga, risau dron datang dan buat kacau.

“Ada beberapa bentuk kekacauan yang telah mereka (Israel) lakukan, antaranya hantar letupan, ada hantar cecair kimia yang menyebabkan muka dan mata pedih. Ada juga gangguan komunikasi di mana ada satu talian walkie-talkie telah digodam,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Musa berkata, kekacauan itu sedikit pun tidak melemahkan pasukan GSF dan mereka masih bersemangat untuk meneruskan pelayaran.

“Kita tidak akan berganjak, lagi-lagi dengan sokongan penuh kerajaan Malaysia. Saya rasa segala bentuk kekacauan ini kita akan hadap.

“Kita belum masuk lagi zon bahaya, maksudnya ‘yellow zone’ ataupun ‘red zone’, tapi kita dah berada di grey zone pun kita dah diganggu dengan agak teruk semalam,” jelasnya.

Setakat ini, lebih 500 sukarelawan GSF daripada 45 negara termasuk 34 delegasi dari Malaysia menaiki 53 buah kapal bersama tiga kapal pemerhati menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan makanan serta keperluan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI