fbpx
Syed Al Iqbal (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Gurun, hari ini bagi berdepan pertuduhan membunuh isteri dan peniaga telefon bimbit. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

Bapa dua anak dituduh bunuh isteri, peniaga telefon bimbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GURUN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dan seorang peniaga telefon bimbit pada 11 September lalu.

Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, yang merupakan bapa kepada dua anak mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan pekerja swasta.

Terdahulu tertuduh yang memakai baju T belang biru dan putih serta mengenakan pelitup muka tiba di pekarangan mahkamah dengan kereta polis pada pukul 8.35 pagi tadi.

Beberapa ahli keluarga termasuk bapa tertuduh hadir pada prosiding tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30, di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan dekat sini antara pukul 9 malam hingga 10 malam, 11 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Al Iqbal dituduh membunuh Nurul Nur Syamira Khamis, 28, di kawasan perumahan, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya sementara tertuduh diwakili barisan peguam, Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia serta dokumen berkaitan lain. Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Pada prosiding itu, Abdul Hayyi memohon agar tertuduh dihantar ke Penjara Marang, Terengganu kerana ahli keluarga tertuduh termasuk dua anak lelakinya berusia tiga dan enam tahun menetap di negeri itu.

“Dua anaknya kini dalam jagaan ibu bapanya (tertuduh) dan permohonan ini adalah untuk kemudahan lawatan serta untuk masa depan dan psikologi anak-anak,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung permohonan tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita, Nurul Nur Syamira Khamis, 28, dan peniaga telefon bimbit, Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30, ditemui maut masing-masing dengan lapan dan 20 kesan tikaman dan kelaran di Taman Nona di Guar Chempedak.

Nurul Nur Syamira dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di dalam kereta Proton Wira, manakala Ku Mohd Asraf tertiarap di atas jalan, berhampiran kereta tersebut.

Polis kemudian mendedahkan bahawa motif kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu kerana suspek lelaki mempercayai mangsa wanita mempunyai hubungan sulit dengan mangsa lelaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN