PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau akan berhubung dengan rakyat Malaysia yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, esok.
Menurutnya, beliau akan berhubung dengan rakyat Malaysia itu menerusi panggilan video.
“Esok saya akan bercakap dengan 34 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal flotilla itu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Ikondesa@Putrajaya, di sini hari ini.
Katanya, hari ini, beliau juga telah berpeluang melakukan panggilan video bersama Musa Al-Nuwayri, salah seorang rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan, konvoi itu kini berada kira-kira 750 batu nautika dari Gaza, Palestin.
“Saya juga dimaklumkan, mereka (konvoi) telah diserang dengan dron. Malah, mereka memaklumkan telah bersedia dengan situasi itu.
“Kita berharap mereka cekal untuk menghadapi apa juga ancaman daripada pihak Israel. Tapi niat yang baik pada hemat saya, ianya akan menghasilkan sesuatu yang baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE