fbpx
Abu Sahid, Wee Leong selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Abu Sahid, Wee Leong didakwa lagi pertuduhan berjumlah RM754.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ia membabitkan keseluruhan 19 pertuduhan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan dokumen palsu berjumlah RM754.6 juta melibatkan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Abu Sahid, 74, yang dibenarkan duduk di kerusi roda di luar kandang tertuduh didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah berjumlah RM145.5 juta milik Maju Holdings Sdn. Bhd. yang dibayar ke akaun milik sebuah syarikat pembinaan.

Kesalahan dilakukan pada 12 Januari dan 13 Jun 2018 di sebuah cawangan bank di Taman Serdang Perdana.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Wee Leong, 68, pula didakwa atas sembilan pertuduhan memperdayakan ejen bank dengan mengemukakan dokumen tuntutan palsu bernilai RM220.7 juta bagi kerja-kerja pembinaan jalan, sedangkan ia tidak pernah dilaksanakan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Seksyen 14 di sini pada 9 November 2017 hingga 26 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Dia juga didakwa atas sembilan lagi tuduhan memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM388.3 juta menggunakan akaun dan 26 cek daripada akaun syarikat pembinaan sebelum ini kepada akaun miliknya dan tiga syarikat lain di cawangan bank di Country Heights, Kajang pada 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon kesemua pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes yang disebut sebelum ini.

“Tarikh ditetapkan di Mahkamah Sesyen sebelum ini adalah pada 3 November ini.

“Kami juga memohon menggunakan pakai jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini. Abu Sahid (diikat jamin) sebanyak RM1.5 juta dan RM1 juta bagi Wee Leong bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” jelasnya.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abu Sahid dan Wee Leong diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman tidak membantah cadangan itu. Mahkamah membenarkan kesemua permohonan tersebut.

Kosmo! pada 8 September lalu melaporkan Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pengubahan wang haram membabitkan lebih RM100 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wee Leong turut membuat pengakuan sama atas 17 pertuduhan dokumen palsu bernilai RM314.4 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN