PETALING JAYA – Rakaman kamera sensor pada sebuah kenderaan yang memaparkan kelibat lima individu termasuk seorang kanak-kanak sedang mengayuh basikal ketika melalui kawasan perkuburan tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai tanda tanya netizen.
Video berdurasi 11 saat yang dimuat naik pengguna media sosial, Jack Son itu memperlihatkan pemandu terbabit melalui jalan sunyi berhampiran tanah perkuburan pada waktu malam sebelum sensor keselamatan keretanya mengesan pergerakan beberapa individu di bahu jalan, termasuk seorang kanak-kanak menaiki basikal.
Bagaimanapun, kelibat individu itu tidak kelihatan secara fizikal, sebaliknya hanya dikesan melalui kamera sensor seperti dipaparkan pada skrin kenderaan.
Situasi itu membuatkan ramai berasa seram dan meninggalkan pelbagai tanda tanya di ruangan komen.
“Siapa pula empat orang tu…siap ada budak kayuh basikal. Tapi tak nampak langsung dekat luar,” kata Merey.
“Pernah kena banyak kali sebab sensor. Ada sahaja yang melintas atau masa mengundur ‘tertangkap’ sesuatu pada skrin gambaran orang. Seram juga, tapi buat tahu sahaja lah,” kata ShamStayer.
“Ramai betul yang nak tumpang naik kereta,” gurau Aqilah Fauzi. – KOSMO! ONLINE