BARCELONA – Ferran Torres membuktikan sentuhan berbisa apabila meledak dua gol untuk membantu Barcelona mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Getafe dalam aksi La Liga, awal pagi semalam.
Beraksi di gelanggang sementara di Estadi Sant Joan Despi, skuad kendalian Hansi Flick tampil dominan sejak awal permainan meskipun masih kehilangan Lamine Yamal akibat kecederaan.
Torres yang diberi peluang menggantikan Robert Lewandowski dalam polisi penggiliran Flick, membuka tirai jaringan minit ke-15 hasil gerakan cantik disudahkan dengan bantuan Dani Olmo.
Penyerang Sepanyol itu menambah gol kedua pada minit ke-34 apabila bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang menewaskan penjaga gol David Soria.
Torres hampir melengkapkan hatrik sebelum rehat tetapi percubaannya sekadar menggegarkan palang, namun dua jaringan sudah cukup mengangkat namanya sebagai antara penjaring terbanyak liga musim ini dengan empat gol, hanya satu di belakang Kylian Mbappe.
“Saya tahu mampu jadi pemain utama di Barcelona. Setiap peluang akan saya manfaatkan sebaik mungkin dan saya yakin lebih banyak gol akan datang,” katanya.
Barcelona menutup kemenangan menerusi jaringan Olmo pada minit ke-63 selepas menerima hantaran Marcus Rashford yang masuk sebagai pemain gantian.
Kemenangan itu memastikan Barcelona terus mengekori rapat pendahulu Real Madrid dengan 13 mata selepas lima perlawanan, sekali gus mengekalkan momentum menjelang pertemuan menentang Real Oviedo, Khamis ini. – AGENSI