fbpx
GAMBAR HIASAN

Tiada jaminan RON95 kekal RM1.99 sepanjang masa – Amir Hamzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Harga subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) akan dikekalkan buat masa terdekat selepas pelaksanaanya, namun kerajaan tidak dapat memberi jaminan ia kekal sepanjang masa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga berkenaan diputuskan bagi memastikan rakyat menikmati bahan api pada kadar berpatutan selaras janji kerajaan.

“Kadar RM1.99 adalah harga subsidi yang telah dipersetujui dan akan dikekalkan buat masa ini. Niatnya untuk mengekalkannya buat sementara waktu.

“Tetapi saya tidak boleh menjamin ia kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa,” katanya ketika sesi taklimat media penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan kini sedang memperhalusi mekanisme had penggunaan harian Budi95 bagi mengelakkan ketirisan tanpa membebankan pengguna.

“Kami masih mempertimbang mekanisme yang sesuai. Contohnya, tidak wajar jika seseorang boleh mengisi setiap 10 minit kerana ia boleh digunakan untuk tujuan lain.

“Atau mungkin akan ditetapkan had harian tertentu, tetapi perkara ini perlu diperhalusi agar tidak menyusahkan rakyat dan tidak hadkan pergerakan mereka,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Budi95 diperkenalkan bagi membolehkan rakyat Malaysia membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, lebih rendah berbanding harga semasa RM2.05 seliter, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI