fbpx
Hussein menunjukkan dadah Fentanyl yang cuba dipasarkan di negara ini. FOTO: AFIQ RAZALI

Sindiket dadah Fentanyl RM30.7 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Taktik pengedaran dadah baharu jenis Fentanyl termasuk dipercayai untuk cecair vape dan tablet berjaya dipatahkan dalam serbuan baru-baru ini.

Rampasan dadah seberat 968.1 kilogram (kg) bernilai RM30.7 juta dilakukan menerusi Op Black Ash yang mampu dibekalkan kepada dua juta pengguna.

Dadah yang mempunyai kesan lebih 100 kali kuat daripada dadah lain berkenaan antara rampasan keseluruhan 1.7 tan bahan terlarang bernilai RM54.18 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati dadah Fentanyl itu dibawa masuk oleh sindiket antarabangsa menggunakan kargo melalui Pelabuhan Klang.

Katanya, ia diimport dari negara sebelah timur dengan diisytiharkan barangan lain.

“Ini cubaan pertama polis berjaya kesan dan tumpaskan sebelum sampai kepada pengguna.

“Kalau diteliti dadah jenis Fentanyl yang membunuh lebih 67 peratus akibat ‘overdose’ di negara barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada.

“Jadi, satu dadah yang saya boleh kata 100 kali kuat daripada dadah di pasaran ketika ini. Kita percayai dadah ini untuk pasaran Malaysia dan dieksport ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Jelas beliau, ia biasanya digunakan sebagai ubat tahan sakit di luar negara namun disalah guna termasuk dicampur dengan methamphetamine.

“Dadah yang dibawa masuk itu kemudiannya dipecahkan kepada dua konsainan untuk dihantar kepada dua kumpulan berbeza.

“Cecair dadah ini biasanya dibuat untuk vape manakala serbuknya untuk tablet,” tegasnya.

Kata Hussein, menerusi lima lagi siri operasi khas meliputi Op Black Wood, Op Ceylon, Op BlackButt, Op Black Birch dan Op Cengal sekitar Selangor, Lembah Klang, Muar di Johor dan Sungai Besi di Kuala Lumpur berjaya merampas pelbagai dadah lain seperti ekstasi, erimin 5, methamphetamine, heroin dan ketamin antara pertengahan Ogos hingga September ini.

Secara keseluruhan, seramai 24 individu melibatkan 19 lelaki dan lima perempuan termasuk warga asing berusia 19 hingga 55 tahun diberkas daripada enam sindiket kesemuanya.

“Rata-rata sindiket ini telah aktif sejak dua hingga 10 bulan lalu. Enam warga asing yang turut ditahan didapati memasuki negara ini secara sah.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah pula dianggarkan RM54.18 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI