fbpx
Amir (tengah) membantu upacara pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian dekat Kota Bharu hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

Saya puas hati dapat teman abah hingga akhir hayat – Amir Raja Lawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Amir Raja Lawak atau Mohammad Amirullah Azmi, 36, berpuas hati apabila dapat menemani dan menjaga bapanya, Azmi Deris, 67, sehingga akhir hayat.

Allahyarham Azmi meninggal dunia kira-kira pukul 10.52 malam tadi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini akibat kanser usus.

Amir berkata, dia reda dengan pemergian arwah bapanya, namun berpuas hati apabila dapat menjaga bapanya yang sakit hingga menghembuskan nafas terakhir.

Menurutnya, semua permintaan arwah bapa sudah tunaikan termasuk makan dan minum sepanjang sebulan dirawat di HPUSM apabila penyakit kansernya bertambah kronik.

“Sepanjang abah sakit, saya puas hati apabila dapat menjaga, menemani dan menyelesaikan semua perkara yang berkait dengannya.

“Abah pergi menghadap ilahi selepas menjalani pembedahan menyedut air dalam paru-paru dan membuang kahak di HPUSM,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian di sini hari ini.

Terdahulu, Allahyarham Azmi selamat disemadikan di tanah perkuburan berkenaan kira-kira 10 pagi tadi dan upacara pengebumian jenazah dihadiri oleh keluarga terdekat.

Mengulas lanjut, Amir memberitahu, dia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya sebagai ahli perniagaan dan karier dalam bidang seni selepas ini.

Menurutnya, dia juga tidak menerima sebarang perkembangan terkini mengenai bayaran sebanyak RM18,000 yang masih belum dilunaskan oleh sebuah stesen televisyen.

“Saya sepatutnya menghadiri sidang media Muzikal Lawak Superstar pada hari ini, namun hasrat itu dibatalkan apabila abah meninggal dunia malam tadi.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban semasa merawat abah sebelum ini,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, bapa kepada Amir Raja Lawak meninggal dunia malam tadi apabila pelawak itu berkongsi khabar sedih itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN