TINDAKAN Perdana Menteri Albania, Edi Rama melantik menteri kecerdasan buatan (AI) yang diberi nama Diella menyertai barisan kabinet baharunya baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi.
Meskipun tindakan itu bertujuan mempamerkan inovasi teknologi baharu dan mempromosikan usaha kerajaan dalam menangani isu rasuah, namun ia masih dianggap tidak sesuai untuk dipraktikkan.
Memetik laporan AP, Pengarah Institut Kajian Politik (IPS) Universiti Tirana, Afrim Krasniqi tidak menafikan AI dapat membantu melaksanakan tugas dengan lebih efisien, tetapi masih belum cukup untuk melaksanakan tugas secara mampan.
“AI boleh membantu pengurusan pentadbiran menjadi lebih lancar, tetapi ia tidak dapat menggantikan seorang menteri kerana tiada keabsahan politik atau tanggungjawab perlembagaan.
“Saya melihat Diella lebih kepada alat sokongan pentadbiran berbanding seorang menteri sebenarnya,” katanya.
Dibangunkan dalam bentuk avatar, Diella digambarkan sebagai wanita yang mengenakan pakaian tradisional negara terbabit.
Dia bertanggungjawab memastikan tender awam benar-benar bebas daripada rasuah dan membantu kerajaan beroperasi dengan lebih cekap serta telus.
Sebelum dilantik, Diella sudah pun berkhidmat sebagai pembantu maya di platform perkhidmatan awam e-Albania bagi membantu pengguna menavigasi laman sesawang kerajaan serta mengakses hampir sejuta pertanyaan dan dokumen digital.
Entiti maya itu telah dibangunkan awal tahun ini dengan kerjasama syarikat gergasi teknologi, Microsoft.

Sementara itu, bekas Presiden Albania, Ilir Meta berkata, masalah rasuah tidak hanya boleh diselesaikan dengan teknologi semata-mata.
“Masalah sebenar Albania adalah krisis kepercayaan terhadap institusi akibat rasuah yang berleluasa dan bukan kerana ketiadaan teknologi.
“Teknologi seperti AI tidak akan dapat selesai isu asas politik mahupun institusi,” ujarnya memetik laporan Balkan Insight.
Biarpun mendapat pandangan kurang menyenangkan, namun Rama tetap optimis Diella akan berjaya membantu kerajaan untuk membasmi jenayah rasuah, sekali gus meraih kepercayaan rakyat.
“Diella akan menjadi anggota kabinet yang tidak hadir secara fizikal, tetapi telah diwujudkan secara maya.
“Menteri AI ini akan membantu memastikan tender awam benar-benar bebas daripada rasuah dan membantu kerajaan beroperasi dengan lebih cekap serta telus,” ujar Rama dalam satu kenyataan rasmi.
Pelantikan Diella dibuat selepas Parti Sosialis pimpinan Rama memenangi penggal keempat berturut-turut pada pilihan raya parlimen Mei lalu dengan menguasai 83 daripada 140 kerusi.
Jumlah itu memberi majoriti kepada kerajaan mentadbir dan meluluskan kebanyakan undang-undang, namun masih belum mencapai 93 kerusi yang diperlukan bagi meminda perlembagaan.
Parti itu turut berjanji membawa Albania menyertai Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh lima tahun dengan sasaran rundingan selesai menjelang 2027.
Bagaimanapun, pembangkang iaitu Demokrat menyifatkan negara Balkan Barat itu masih belum bersedia menyertai EU.
Selain memantau ketelusan tender, Diella juga dijangka membantu pihak berkuasa tempatan mempercepatkan proses pembaharuan dan menyelaras piawaian yang ditetapkan EU.
Presiden Bajram Begaj sebelum ini telah menugaskan Rama membentuk kerajaan baharu, sekali gus memberi ruang kepadanya memperkenalkan inovasi luar biasa termasuk pelantikan menteri maya pertama negara itu.














