PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Republik Demokratik Timor-Leste bagi lawatan rasmi atas jemputan rakan sejawatannya, Kay Rala Xanana Gusmão, hari ini.
Beliau berkata, kunjungan itu penting untuk memperkukuh hubungan dua hala.
“Lawatan rasmi ini penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.
“Moga segala perancangan dan agenda yang diatur dipermudahkan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi media sosial.
Terdahulu, Anwar ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebelum ini dilaporkan berkata, ASEAN akan melaksanakan secara konsensus segala aspek diperlukan bagi memastikan Timor-Leste dapat menjadi ahli penuh blok serantau itu menjelang Oktober depan.
Beliau dipetik berkata, secara dasarnya, ASEAN bersetuju untuk Timor-Leste menjadi anggota penuh.
Namun beliau menjelaskan, negara itu perlu memenuhi beberapa perkara sebelum menyertai blok berkenaan. – KOSMO! ONLINE