PETALING JAYA – Gara-gara video masakan pengantin popular, lauk telur mata tumis bawang dengan bilis yang disediakan Amira Othman buat suaminya, Fattah Amin menjadi ikutan ramai.
Juadah mudah yang disediakan ketika berbulan madu di Switzerland itu mengundang selera sehingga ramai pengikut media sosial selebriti terbabit teruja menyediakan hidangan sama.
Penangan video ‘telur bilis’ juga menyebabkan Instagram Amira serta Fattah dibanjiri gambar hasil lauk buatan netizen seperti dimasak penyanyi lagu Cinta Terakhirku itu.
Pasangan yang berbulan madu di negara empat musim itu turut berkongsi semula foto masakan bersama kapsyen mencuit hati daripada pengikut mereka dalam InstaStory.
Menerusi ruangan komen di TikTok, peminat terhibur melihat resepi mudah isteri syurga itu yang mampu membuatkan ramai terliur sehingga bagai diseru ke dapur untuk memasak.
“Rasanya satu Malaysia masak lauk ini minggu ini,” tulis seorang netizen.
“Penangan seorang bernama Amira Othman, lain betul auranya. Padahal resepi itu ringkas sahaja tetapi ramai terliur,” kata pengguna akaun TikTok lain.
Terdahulu, yang mudahnya disapa FattMira itu disatukan di sebuah pusat peranginan di Sepang, Selangor bertepatan hari jadi Fattah ke-35 pada 14 September lalu. – KOSMO! ONLINE