KUALA LUMPUR – Sebanyak 49,289 notis advokasi dikeluarkan menerusi Kempen Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) dari 6 September hingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 7,000 notis direkodkan dalam operasi dua hari terbaru iaitu pada Ahad dan semalam.
Katanya, mengikut pecahan, notis terbanyak dikeluarkan kepada pemandu kereta iaitu 3,235 notis, diikuti penunggang motosikal (2,590), pejalan kaki (780), van (190), lori (162) dan teksi (43).
“Kesalahan utama yang direkodkan sepanjang dua hari operasi itu termasuk halangan lalu lintas (2,879), abai isyarat lalu lintas (1,692), tidak ikut lintasan pejalan kaki (780) dan nombor plet kotor, kabur atau fancy (687).
“Selain itu, melibatkan tidak pakai topi keledar sebanyak 336 advokasi, berhenti lebih garisan putih (181), ubah suai motosikal (162), tidak pakai tali pinggang keledar (81) dan berhenti di petak kuning (202),” katanya dalam kenyataan.
Op PUU dijalankan secara bersepadu, operasi harian serta menerusi program advokasi di lokasi tumpuan trafik bagi mendidik pengguna jalan raya mengenai kepatuhan undang-undang. – KOSMO! ONLINE