SKUAD berbasikal kebangsaan meletakkan sasaran realistik pada Le Tour de Langkawi (LTdL) kali ini dengan fokus utama menyambar jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dan peringkat perlumbaan yang akan bermula 28 September ini hingga 5 Oktober nanti.
Ketua jurulatih negara, Mohd. Yusof Abdul Nasir menegaskan, biarpun perlumbaan sentiasa terbuka dan penuh dengan kejutan, pasukannya perlu berpijak di bumi nyata apabila berdepan cabaran daripada pasukan-pasukan ternama dunia.
“Setiap tahun bila kita beraksi di Langkawi, kita kena letakkan sasaran yang realistik. Pada saya, Asia adalah tahap paling sesuai kita mampu lakukan,” katanya pada sesi pengenalan pasukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pelumba negara mampu mencipta kejutan, sambil mengimbau era kegemilangan Anuar Manan dan Harrif Salleh yang pernah menjuarai peringkat LTdL.
Katanya, enam pelumba diketuai Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Kee Zhe Yie, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Iqmal Mohd. Zarawi dan Mohd. Shahrul Mat Amin mampu mencipta kejutan skuad negara.
“Tidak mustahil kerana dalam perlumbaan macam-macam boleh berlaku. Dengan kemampuan di laluan Bukit Fraser, kita mungkin boleh lakukan sesuatu.
“Hari-hari kita cuba untuk pastikan pelumba negara memberi cabaran. Siapa tak mahu naik podium? Tahun lepas kita cuba rebut jersi merah, tetapi malangnya pelumba kita tayar bocor. Tahun ini, insya-Allah kita cuba lagi.
“Kita ada Yusri yang boleh lakukan breakaway dan Shahrul Mat Amin yang berpengalaman. Untuk pasukan Malaysia, setiap peringkat kita akan beri yang terbaik untuk memburu kemenangan peringkat dan podium,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE