HULU TERENGGANU – Tindakan seorang lelaki berusia 52 tahun membela 29 spesies burung dilindungi membawa padah apabila premisnya diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Getang, Kuala Berang di sini semalam.
Serbuan pada pukul 1 tengah hari berkenaan berjaya merampas kesemua burung terbabit yang dianggarkan berjumlah keseluruhan RM100,300.
Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, operasi tersebut dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
“Pemeriksaan di dalam premis berkenaan menemukan 29 ekor burung pelbagai spesies yang dilindungi.
“Antaranya burung serindit, bayan puling, mervah luris leher, murai batu dan daun,” katanya di sini hari ini.
Zulafendy berkata, sebanyak 14 unit sangkar burung turut dirampas dalam serbuan berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan soal siasat awal suspek mengaku memiliki kesemua burung itu tanpa lesen dan permit khas daripada Perhilitan.
“Lelaki itu telah diserahkan kepada Perhilitan untuk ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya. – KOSMO! ONLINE