PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melakukan penyelarasan dan integrasi sistem MyKad dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi melancarkan agihan Budi95 yang akan bermula akhir bulan ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, integrasi sistem itu penting bagi memastikan MyKad tidak disalah guna oleh individu lain.
Beliau berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai lebih 100 MyKad hilang yang telah digunakan individu lain bagi menebus kredit Sumbangan Asas Rahmah (Sara) baru-baru ini.
“Apabila individu kehilangan MyKad, mereka perlu melaporkan kepada JPN bagi tujuan dinyah aktif dalam sistem. Bagaimanapun, bagi kes salah guna tebus Sara itu, JPN telah pun dinyah aktifkan MyKad itu namun ia tidak berlaku di peringkat MoF.
“Jadi, kedua-dua sistem iaitu JPN dan MoF perlu disaling hubung terlebih dahulu bagi memastikan ia tidak disalah guna,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian penukaran cip rosak MyKad di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut isu salah guna tebus Sara itu, Saifuddin berkata, pihaknya telah mengesan sekitar 100 aduan berkaitan dan walaupun jumlah itu kecil namun, penambahbaikan telah diambil. – KOSMO! ONLINE