TEL AVIV – Israel berikrar bahawa ia tidak akan membenarkan armada yang membawa bantuan ke Gaza mematahkan sekatan ke atas wilayah Palestin.
“Israel tidak akan membenarkan kapal memasuki zon tempur yang aktif dan tidak akan membenarkan pelanggaran sekatan tentera laut yang sah,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.
Ia selain itu menuduh Hamas mengatur flotila untuk memenuhi tujuan kumpulan itu.
Kementerian berkenaan berkata, kapal-kapal itu akan dibenarkan berlabuh di Ashkelon, di mana bantuan boleh dihantar ke Gaza.
“Sekiranya keinginan sebenar para peserta flotilla adalah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bukannya berkhidmat kepada Hamas, Israel menyeru mereka untuk berlabuh di marina Ashkelon dan memunggah bantuan di sana.
“Ia kemudian akan dipindahkan dengan segera dalam cara yang diselaraskan ke Semenanjung Gaza,” kata kementerian itu.
Global Sumud Flotilla yang membawa penyokong pro-Palestin terkemuka termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg, belayar ke Gaza awal bulan ini dari Tunisia selepas mengalami kelewatan berulang kali.
Ia bertujuan untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza dan menyampaikan bantuan ke wilayah itu.
Sebelum berlepas, ia berkata bahawa dua botnya menjadi sasaran serangan dron.
Israel sebelum ini menyekat dua percubaan awal aktivis untuk sampai ke Gaza melalui laut pada Jun dan Julai lalu. – AFP