LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui terpaksa menggunakan pendekatan ketika terikat 1-1 menentang Arsenal di Emirates awal pagi semalam buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Menurutnya, strategi ‘parkir’ bas ketika perlawanan itu menyaksikan City buat kali pertama sejak sedekad lalu ‘tewas’ dalam kawalan permainan apabila hanya memiliki 33 peratus penguasaan bola.
Ia merupakan rekod terendah dicatatkan oleh City di bawah kendalian Guardiola selepas catatan terendah sebelum ini ketika mereka menentang Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara pada 2016 dengan catatan 34 peratus.
“Kami tidak mahu bermain seperti itu, tetapi adakalanya kami terpaksa melakukannya. Sekali dalam tempoh 10 tahun bermain dengan cara sebegitu, saya tidak fikir ia terlalu teruk. Saya perlu membuktikan kemampuan saya dengan pendekatan berbeza.
“Saya begitu mengagumi apa yang dilakukan oleh Arsenal. Kadang-kadang kami perlu memilih corak permainan seperti itu, bertahan dengan lima pemain,” kata Guardiola.
Bagaimanapun, Guardiola mengakui bahawa beliau berdepan ‘penderitaan’ melihat para pemainnya beraksi dengan cara tersebut apabila gawang mereka sering kali berdepan ancaman hebat Arsenal.
“Saya ‘menderita’, saya tidak sukakannya. Saya mahu bola jauh daripada kotak penalti kami. Namun, apabila kami berdepan situasi sebegitu, kami akan sedar sejauh mana kemampuan kami dan tingkatkannya lagi.
“Hakikatnya, kami hampir untuk menang biarpun beraksi dengan cara tersebut, kami sangat teguh dan saya tidak ada masalah untuk mengubah gaya permainan sekali sekali. Dalam tempoh 10 tahun kami berdepan pasukan yang bertahan dengan cara sebegitu.
Pada perlawanan tersebut, penggempur The Citizens, Erling Haaland terus mengekalkan prestasi sebagai penjaring apabila meledak gol pembukaan seawal minit kesembilan sebelum Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan pada masa kecederaan. – AGENSI