LONDON – Arsenal kini berdebar menanti keputusan ujian imbasan lutut kanan pemain sayapnya, Noni Madueke selepas dia terpaksa dikeluarkan ketika aksi seri 1-1 menentang Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.
Madueke dilihat memegang lututnya pada penghujung babak pertama sebelum digantikan dengan Bukayo Saka sebaik sahaja separuh masa kedua bermula.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan bahawa bintang berusia 22 tahun itu mungkin mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), namun sumber kelab menegaskan ujian masih diteruskan bagi menentukan tahap sebenar dan tempoh dia akan berehat.
The Gunners pastinya berharap berita baik memandangkan Madueke antara watak penting sejak dibawa masuk dari Chelsea pada musim panas lalu dan segera mencuri tumpuan dengan persembahan bertenaga di sayap kanan.
Masalah kecederaan terus menghantui skuad utara London itu selepas Kai Havertz baru sahaja menjalani pembedahan lutut bulan lalu, manakala kapten, Martin Odegaard berdepan kecederaan bahu.
Dalam masa sama, Arsenal lega apabila Saka sudah kembali ke bangku simpanan minggu lalu selepas berehat empat minggu akibat masalah hamstring, sekali gus memberi sedikit tonik kepada Arteta.
Namun, kehilangan Madueke untuk tempoh panjang bakal memberi tamparan besar kepada usaha Arsenal mengekalkan rentak dalam saingan domestik dan Eropah musim ini. – AGENSI