LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mempertahankan keputusannya menyenaraikan kesebelasan utama ketika pasukan itu terikat 1-1 menentang Manchester City di Emirates awal pagi semalam.
Menurutnya, biarpun gagal meraih tiga mata penuh, The Gunners secara jelas mendominasi aksi tersebut dan mencipta rekod apabila memiliki penguasaan lebih tinggi berbanding City buat kali pertama.
Bagaimanapun, Arsenal terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan untuk meledak gol penyamaan selepas City membuka tirai jaringan menerusi Erling Haaland apabila Gabriel Martinelli yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol penyamaan.
Perlawanan itu menyaksikan skuad kendalian Arteta mendominasi perlawanan dengan 67 peratus penguasaan bola, berjaya melakukan 12 percubaan termasuk tiga percubaan tepat serta memiliki 11 sepakan penjuru.
Namun, keputusan Arteta meletakkan Eberechi Eze, Bukayo Saka dan Martinelli di bangku simpanan mencetuskan reaksi kurang senang peminat yang menganggap kesebelasan Arsenal untuk perlawanan itu kurang keinginan untuk meraih kemenangan.
“Saya serahkan kepada anda untuk menilai, tetapi kami memiliki ramai pemain yang mampu beraksi di bahagian serangan. Ia mudah untuk mengatakan bahawa kami tidak memiliki keinginan besar.
“Tetapi, kami memulakan perlawanan ini dengan sangat baik dan menguasai perlawanan sepenuhnya. Selepas menjaringkan gol itu, City seakan ‘hilang’ dalam perlawanan kerana pemain kami berjaya melakukannya dengan baik dan cuba mendapat keputusan terbaik.
“Kami mengawal permainan dan mendominasi seluruh aksi kali ini. Saya sangat berbangga dengan para pemain, cuma kami sedikit kecewa dengan keputusan,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool, namun Arteta masih percaya bahawa The Gunners mampu meneruskan cabaran dalam perebutan kejuaraan.
“Kami tidak boleh mengawal situasi (kemenangan Liverpool dalam setiap perlawanan). Ia akan menjadi lebih sukar, tetapi jika kami terus bermain pada tahap ini, kami mampu melunaskan semua impian,” jelasnya. – AGENSI