ARAU – Seorang graduan Kolej Komuniti Arau dari Sabah bertekad untuk bergelar chargeman bertauliah sebagai puncak kejayaan dalam bidang teknologi elektrik.
Syuhada Akum Sabran Laupa, 21, atau lebih mesra disapa Akum berkata, kejayaan itu bukan sahaja untuk dirinya malah menjadi hadiah kepada keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi.
“Saya mahu memastikan kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada diri saya tetapi juga kepada keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi.
“Pendidikan adalah aset paling berharga untuk membuka peluang lebih luas dalam kehidupan termasuk untuk terus berbakti kepada keluarga yang telah banyak berkorban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Akum terpilih sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah dan merupakan antara 145 graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Arau 2025 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini.
Lebih manis, majlis tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – KOSMO! ONLINE