PETALING JAYA – Berbekalkan rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim, seorang sukarelawan dari Terengganu sanggup menyertai misi kemanusiaan ke Gaza di bawah inisiatif Sumud Nusantara, meskipun sedar akan risiko dan cabaran yang bakal dihadapi.
Asmawi Mukhtar, wakil dari pertubuhan ImanCare menerusi satu hantaran di laman TikTok Sumud Nusantara, dia berkata, penyertaannya dalam misi berkenaan bukan sekadar kehadiran individu, sebaliknya membawa amanah dan harapan rakyat Malaysia yang ingin membantu penduduk Palestin yang tertindas.
“Apabila diberi ruang dan peluang, saya tidak mampu menolak kerana inilah antara cita-cita yang lama saya pendamkan.
“Saya ke Gaza bukan sebagai diri sendiri, tapi mewakili suara sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, setiap umat Islam sepatutnya menyimpan impian untuk menyumbang ke arah perjuangan akhir umat, walaupun usaha itu mungkin dilihat kecil atau tidak signifikan.
“Saya terinspirasi dengan kisah burung kecil yang cuba memadam api membakar Nabi Ibrahim. Walaupun usahanya nampak mustahil, tetapi itu jawapannya bila ditanya Allah kelak.
“Yang penting, kita usaha. Allah tak tanya berjaya atau tidak, tapi adakah kita berusaha,” katanya.
Dalam masa sama, Asmawi mempunyai kepakaran dalam bidang enjin kapal selama lebih 20 tahun dan hal itu menjadi sebab utama seorang dia dipanggil menyertai misi kemanusiaan itu.- KOSMO! ONLINE
@sumudnusantaraofficial Tuan Asmawi Mukhtar wakil daripada ImanCare dalam Sumud Nusantara. Motivasi beliau untuk teruskan misi memecah sekatan di G walaupun menghadapi pelbagai cabaran. #sumudnusantara #breakthesiege #nusantaraforgaza ♬ original sound – Sumud Nusantara Official