KLANG – Salah faham berkenaan situasi lalu lintas dikatakan menjadi punca pergaduhan melibatkan dua penunggang motosikal di simpang tiga lampu isyarat Jalan Haji Abdul Manan di sini, hari ini.
Insiden pergaduhan tersebut tular menerusi video berdurasi lebih seminit ketika lampu isyarat berwarna merah.
Berdasarkan video itu, seorang penunggang motosikal dikatakan teleh memukul topi keledar dipakai penunggang lain sebelum melarat kepada pertengkaran dan pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima dua laporan polis melibatkan Ketua Balai Polis Bukit Raja berhubung penularan video itu kira-kira pukul 5.40 petang.
Katanya, laporan polis turut diterima daripada mangsa kejadian itu dengan hasil siasatan awal mendapati berlaku antara pukul 8 hingga 9 pagi tadi.
“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham melibatkan situasi lalu lintas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fazlan Rezza Mazlan di talian 011-10561017.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-32912222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE