PETALING JAYA – Keselamatan semua peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mencetuskan kebimbangan apabila tiga dron dikesan mengekori pelayaran kapal itu ke Gaza.
Menerusi perkongsian di Instagram, Global Sumud Flotilla, pihaknya mengesahkan aktiviti dron itu diketahui oleh semua peserta dan tindakan pengawasan situasi semasa sedang dilakukan.
“Pengesanan dron terbabit berlaku pada pukul 9.09 malam, 21 September (GMT+2), bersamaan 3.09 pagi, 22 September waktu Malaysia. Terdapat pelbagai dron yang tidak dikenal pasti dikesan berhampiran mengikuti kapal pelayaran telah menimbulkan kebimbangan.
“Pasukan kami sedang memantau keadaan dalam memastikan keselamatan semua selain merakam perkembangan semasa,” menurut kapsyen pada perkongsian itu.
Terdahulu, kapal GSF pernah diserang dron sebanyak dua kali sehingga terbakar pada 9 dan 10 September lalu di jeti perairan Tunisia.
Bagaimanapun, tiada peserta yang cedera dalam insiden terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, ramai bimbang dan mendoakan keselamatan semua peserta misi GSF yang telah berlayar lebih 20 hari dan difahamkan kesemua mereka balal tiba di Gaza dalam tempoh lapan hari lagi.
“Misi kemanusiaan ini perlu dilindungi daripada sebarang bahaya,” kata Katrin.
“Kepada semua peserta misi Global Sumud Flotilla, keberanian kamu semua sangat murni. Semoga Tuhan memberkati kamu,” komen @_ibzy.ibrahim.
“Harap mereka akan faham bahawa tiada yang mampu menghalang misi kemanusiaan ke Gaza, malah menjadi semangat untuk teruskan perjuangan,” komen @Thiagoavilbrasil. – KOSMO! ONLINE