fbpx
Robin tidak menyangka filem Four Trails melayakkan dirinya Pengarah Baharu Terbaik pada Anugerah Filem Hong Kong 2025.

Tak sangka menang, Hong Kong pun lokasi larian ultra – Robin Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dinobatkan sebagai Pengarah Baharu Terbaik pada Anugerah Filem Hong Kong 2025 menerusi filem dokumentari Four Trails merupakan satu pencapaian tidak pernah terjangka buat Robin Lee. 

Robin yang juga merupakan seorang sinematografer berkata, dia tidak pernah terbayang untuk diberi penghormatan pada acara anugerah filem kerana apa yang dilunaskannya bersandarkan minat semata-mata. 

“Masa saya mula buat dokumentari ini, matlamatnya bukan nak menang apa-apa trofi. 

“Saya cuma nak buat sesuatu yang menterjemahkan karya yang menarik untuk ditonton. 

“Sangat kagum dengan ketabahan pelari dan peserta acara larian Ultra HK4TUC. Cabaran acara larian ini sangat luar biasa–ia membongkar kehebatan pelari yang terlibat. 

“Secara peribadi, sebagai seorang pengarah, Four Trails adalah sebuah karya yang sangat berbaloi untuk diterjemahkan,” katanya kepada Kosmo Online, baru-baru ini. 

Hong Kong, denai

Filem ini  merujuk kepada acara larian ultra Hong Kong Four Trails Ultra Challenge (HK4TUC), di mana pelari Liu Fo-lok berjaya menamatkan cabaran larion denai pada tahun 2024 dan mencapai masa terpantas keempat dalam sejarah acara itu.

Robin Lee, pengarah filem dokumentari Four Trails yang merakam ketabahan pelari denai Hong Kong.

Cabaran larian ultra tersebut  adalah perjalanan sepanjang 298 kilometer (km) yang merangkumi empat laluan utama di Hong Kong (MacLehose, Wilson, Hong Kong Island, dan Lantau Trails).

Dilahirkan dan dibesarkan di Hong Kong, Robin berkata, sejak kecil dia menggemari sukan lasak dan sangat berminat untuk memvisualkan setiap detik perjalanan sukan termasuklah larian denai. 

“Tak ramai yang tahu sebenarnya Hong Kong boleh jadi lokasi larian denai. Lazimnya, orang tengok negara lain tapi dengan adanya Four Trails, ia membuktikan sesuatu kepada orang luar Hong Kong juga boleh jadi pilihan pelari denai atau ultra. 

“Ada banyak pemandangan indah di Hong Kong, bukan sahaja bandar metropolitan yang pesat membangun yang terkenal dengar menara pencakar langit. 

“Untuk saya, itu juga antara sebab mengapa saya nak buat filem pendek (dokumentari) ini. Terlanjur dan menang anugerah, saya sifatkan ini sebagai bonus yang membuatkan orang lebih kenal Hong Kong sebagai lokasi larian ultra atau denai,” katanya lagi. 

Hollywood

Ditanya tentang projek akan datang, Robin yang sudah 13 tahun terlibat dalam dunia pengarahan fotografi berkata, dia terbuka untuk mengarahkan apa sahaja genre filem, namun bergantung kepada peluang. 

“Belum ada perancangan lagi. Four Trails sendiri wujud atas dasar minat dan dana semua self-funded. 

“Saya bersama abang (Benjamin Lee) sama-sama siapkan Four Trails. Kami pun tak tahu sejauh mana filem ini akan pergi sebab memang tak pernah buat. 

“Dapat bawa filem ini ke Malaysia, orang di sini boleh tonton macam tak percaya semua ini berlaku. Kita tengok nanti apa peluang yang ada. Kalau dapat ke Hollywood pun, itu satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan,” katanya. 

Asian Film Awards Academy (AFAA) dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan pengedar GSC Movies (GSCM) akan menganjurkan Hong Kong Film Gala Presentation – Kuala Lumpur dari 20 hingga 28 September 2025 di Aurum Theatre, The Exchange TRX.

Selepas kejayaan edisi Bangkok, kali ini Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi, menampilkan enam filem Hong Kong terpilih seperti My First of May, Fight For Tomorrow, Good Game, Four Trails, True Love, for Once in My Life serta tayangan semula khas I’m Livin’ It lakonan Aaron Kwok (2019).

Tiket mula dijual pada 11 September 2025 melalui laman web rasmi GSC, Facebook, dan aplikasi mudah alih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI