PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan subsidi petrol RON95 akan diagih secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan dan penerangan terperinci mengenainya dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah, Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan dan penerangan terperinci dari semasa ke semasa agar rakyat benar-benar jelas mengenai pelaksanaan ini.
“Yang penting subsidi ini akan diagih secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter seliter bermula 30 September ini.
Beliau mengumumkan berita gembira itu pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.
Anwar menjelaskan, kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (Budi95) bermula 30 September ini.
Kata beliau, menerusi inisiatif itu, setiap rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95.
Katanya, seiring dengan pelaksanaan tersebut, harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
“Semua warga Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan dengan lesen memandu yang sah dan aktif secara automatik menikmati manfaat ini.
“Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan,” katanya. – KOSMO! ONLINE