SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menetapkan 10 November depan bagi sebutan semula kes melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran awam.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membuat keputusan itu bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan kepada mahkamah.
Peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, prosiding hari ini merupakan sebutan pertama, di mana sebahagian dokumen telah diserahkan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah, manakala dokumen tambahan akan diserahkan pada tarikh berikutnya.
Pada prosiding lalu, Dr. Muhamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.
Beliau didakwa membuat kenyataan berunsur kegusaran awam menerusi akaun Facebook miliknya pada pukul 3 petang, 11 Ogos lalu. Kenyataan itu didakwa boleh mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Prosiding pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Nazran Mohd. Sham dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nor Shakila Dahari.
Dr. Muhamad Akmal diwakili lima peguam termasuk Datuk Mohd Imran Tamrin,Datuk Hasnal Rezua Merican, Aizat Azam, Shahrul Shazuan dan Shakeel Saifuzzaman. – KOSMO! ONLINE