fbpx
Rafidah

Rafidah dituntut bayar lebih RM200,000 terhadap usahawan dalam tempoh 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pempengaruh, Rafidah Ibrahim dituntut oleh usahawan Datuk Haris Embong dan syarikatnya untuk membayar ganti rugi berjumlah RM281,200 dalam tempoh tujuh hari.

Bayaran Ganti rugi itu diputuskan Mahkamah Tinggi selepas Haris dan syarikatnya berjaya dalam saman mereka berhubung hantaran fitnah yang dibuat Rafidah di media sosial empat tahun lalu.

Hantaran fitnah yang dibuat Rafidah itu berkaitan keengganan syarikat yang menjual produk sejuk beku tersebut membayar hasil kerjanya selepas diberhentikan pada Ogos 2021.

Berdasarkan notis yang dihantar firma guaman yang mewakil Haris, Izral Partnership kepada firma guaman terdahulu Rafidah pada 19 September lalu menyatakan surat pertama bertarikh 20 Ogos 2024 kepada firma guaman mewakili defendan tidak mendapat sebarang maklum balas.

Sehubungan itu, firma guaman plaintif berkata, pihaknya diarahkan oleh anak guam untuk menuntut bayaran RM281,200 iaitu jumlah keseluruhan ganti rugi dan kos mengikut penghakiman Mahkamah Tinggi.

Ia membabitkan ganti rugi RM100,000 yang perlu dibayar kepada Haris, ganti rugi RM150,000 yang perlu dibayar kepada Arisprop Holdings, kos keseluruhan RM30,000 dan yuran peruntukan RM1,200.

“Kami diarahkan selanjutnya supaya anak guam anda membuat bayaran bagi jumlah dinyatakan dalam tempoh tujuh hari (bermula) dari tarikh surat ini, sekiranya gagal, anak guam kami akan mengambil tindakan yang perlu,” kata firma guaman itu.

Sementara itu, Haris dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memberi banyak masa kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan, namun ia tidak berlaku sehingga hari ini.

“Tuntutan ini untuk membersihkan imej saya dan syarikat atas tuduhan fitnah yang dibuat. Semua orang mempunyai perjuangan menuntut hak dan keadilan begitu juga saya.

“Ini adalah perjuangan menuntut hak dan keadilan untuk saya dan syarikat selain menghormati keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 31 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rafidah membayar RM250,000 kepada Haris dan syarikatnya.

Hakim Dr. John Lee Kien How@Mohd. Johan Lee memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Haris, 48, dan syarikat Arisprop Holdings masing-masing selaku plaintif pertama dan kedua.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Johan berkata, mahkamah mendapati hantaran yang dibuat Rafidah adalah satu fitnah.

Penghakiman menyatakan, mahkamah mendapati hantaran itu turut membawa maksud syarikat tersebut mengambil kesempatan ke atas defendan dengan enggan membayar hasil kerja beliau.

Mahkamah juga menolak tuntutan balas yang dikemukakan Rafidah terhadap kedua-dua plaintif untuk menuntut antaranya wang RM4,000 bagi gaji tertunggak Ogos 2021 dan kos kemudahan RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikan.

Justeru berdasarkan alasan-alasan itu, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif terhadap defendan dan memerintahkan agar Rafidah membayar ganti rugi RM100,000 kepada plaintif pertama (Haris) dan RM150,000 terhadap Arisprop Holdings selain kos RM30,000 dibayar kepada kedua-dua plaintif.

Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada melalui diri sendiri, ejen atau orang lain daripada menerbitkan perkataan fitnah terhadap plantif dalam apa juga sekalipun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI